14 September 2010
Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan
KOTA BHARU, 13/09/2010: Pada tengah hari, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.
Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan agak luar biasa sedikit, kerana pada kebiasaannya sultan akan digantikan bila sultan yang memerintah telah mangkat. Namun ia adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. Mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika selepas siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu. Ini adalah berikutan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan.
SEDIKIT BIODATA BAGINDA:
Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Oktober 1969. Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu, Kelantan dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan. Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).
Baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad V, sebagai gelaran setelah ditabal menjadi sultan Kelantan.
Diharapkan Kelantan akan terus makmur dan damai di bawah pemerintahan Tuanku. Semoga Allah pelihara dan lanjutkan usia Tuanku. Daulat Tuanku...!!
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment